Sunday, September 26, 2010

Sewang

SEWANG
Muzik Sewang diamalkan oleh masyarakat orang asli senoi dan Negrito. Sewang terdiri daripada muzik, nyanyian solo dan beramai-ramai serta tarian.

Muzik berunsurkan amalan ritual ini sering dikaitkan dengan kehadiran hantu dan gunik. Roh sering dirujuk bagi entiti baik manakala gunik dirujuk sebagai entiti jahat dalam masyarakat ini. Gunik dikatakan sering bertanggungjawab terhadap nasib malang, penyakit dan mala petaka dan ia wujud dalam semangat harimau, guruh dan entiti jahat yang lain. Roh pula dikaitkan dengan semangat orang-orang yang telah meninggal terdiri daripada ketua-ketua atau tokoh-tokoh hebat dalam masyarakat setempat. Mereka biasanya terdiri daripada mantan tok batin, pawang dan pahlawan-pahlawan

Sewang terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Sewang Terang dan Sewang Gelap. Sewang Gelap dijalankan untuk perubatan. Hala’ (Tok Bomoh) akan memanggil gunik yang menggangu penduduk dan akhirnya memutuskan perkaraperkara yang peru dilakukan oleh penduduk kampung tersebut. Dipercayai gunik hanya akan hadir dalam kegelapan malam dan ia tidak suka kepada sebarang cahaya atau api. Hala’ dikatakan akan dirasuk oleh gunik dan ia akan berinteraksi dengan pembantunya dalam upacara tersebut. Dipercayai, pada masa itu gunik akan menyampaikan hasrat dan kehendaknya melalui perantaraan hala’. Nama entiti jahat akan ditukar dengan nama yang lebih baik semasa upacara ini – misalnya entiti “tikus” akan digelar dengan Gunik Siti (SiTikus) dan Gunik Hari (harimau).

Sewang Terang dijalankan dalam suasana terang pesta. Upacara ini sering dijalankan dalam upacara “pemutus ubat”, menolak bala disebabkan wabak penyakit atau kerana hasil pertanian yang tidak begitu baik. Ia juga dijalankan selepas musim genggulang (menuai) bertujuan mengucap terima kasih kepada semangat hutan dan meminta hasil pertanian yang lebih lumayan pada masa akan datang.

Sewang Gelap biasanya dijalankan 7 hari 7 malam berturut-turut. Tidak ada bunyi bising seperti gelak ketawa atau kanak-kanak menangis dibenarkan semasa muzik dan tarian sewang dijalankan.
Sewang Gelap juga dijalankan sebagai pemutus ubat. Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 20 pesakit yang telah diubati dan masih belum menjalankan upacara pemutus ubat hendaklah berkongsi menjalankan sewang. Pengeras atau “sko” hendaklah disediakan oleh pesakit dalam bentuk wang perak (wang syiling biasa) untuk diberi kepada gunik. Hala’ boleh membatalkan upacara sewang jika beliau mendapat “mimpi” atau sebab-sebab lain. Pesakit yang tidak dapat hadir hendaklah menggantikannya dengan sedikit darah yang diambil dari bahagian kaki.

Peralatan Tarian

·         Daun kelapa yang dianyam akan dihias di sekeliling ruang tarian.

·         Daun kelapa juga dijadikan aksesori dimana ia akan dililit di kepada, badan dan pinggang semua ahli-ahli sewang.

·         Muka ahli sewang dihiasi dengan warna merah dari biji buah Kesumbar dan bintik putih dari kapur.

·         Hala’ (Tok Pawang) dan penari sewang akan memegang segenggam daun-daun hutan yang dipanggil “kijau”. Biasanya terdiri daripada daun-daun herba dan akar-akar yang mempunyai bau harum.

Pantang Larang

                Hala’ yang bertanggungjawab menjalankan upacara tarian sewang tidak boleh makan makanan yang pedas dan juga yang dianggap berbisa seperti ikan keli dan ikan berduri selama 7 hari selapas upacara sewang. Dipercayai jika hala’ melanggar pantang ini, penyakit yang diubati tersebut akan kembali.

Selain itu sepanjang sewang dijalankan, penonton tidak dibenarkan berbuat bising contohnya gelak ketawa, menangis (kanak-kanak) dan memasang lampu atau api (bagi sewang gelap).


Muzik Sewang

                Alat terpenting ialah Centung yang dimainkan oleh 4 orang pemuzik. Satu set Centung terdiri daripada dua batang buluh yang mempunyai bahagian atas terbuka dan di bahagian bawahnya ditutup oleh bahagian ruas. Centung yang lebih besar dinamakan Cantung Jantan dipegang menggunakan tangan kiri berukuran lebih kurang 6-8cm dan panjang 60-75cm. Centung Betina
berukuran lebih kecil dipegang menggunakan tangan kanan. Selain dari bermain muzik, pemuzik akan menyanyi berselang seli dengan nyanyian oleh Hala’ Centung akan dimainkan sepanjang tarian sewang.

                Pensol atau seruling hidung dimainkan oleh Hala’. Juga dibuat daripada buluh berukuran diameter 1.5 – 2cm dan panjang kira-kira 25cm.

Alat lain dalam sewang ialah rebana, Crep (gitar buluh bertali 2), gong dan Genggong (menyerupai mouth harp).

Julak atau melodi yang dinyanyikan oleh hala’ dikatakan diilhamkan melalui mimpi. Julak ini dinyanyikan untuk memanggil gunik hadir dalam majlis. Hala’ yang telah dirasuk oleh gunik dikesan dengan perubahan karektor atau suaranya yang berubah. Contohnya, apabila Gunik Harimau telah merasuk tubuh hala’ maka suara hala’ akan berubah menderam seperti bunyi harimau.

Unsur ritual dalam muzik sewang semakin lama semakin berkurangan kerana fungsi asal bagi mengubati penyakit telah mulai dilupai. Ramai penduduk masyarakat orang asli telah mula beralih kepada perubatan modern yang semakin mudah didapati. Fungsi sewang ini telah mula beralih kepada genggulang atau hanya untuk persembahan khas kepada pelancong.



Lagu Sewang

Sebanyak 18 buah lagu nyanyian Encik Ramli a/l Pasit, Encik Yatim a/l Minhat dan
Encik Kah Tim a/l Kalok telah dapat dirakam iaitu :

·         Kok Gagek (Mari Cepat)
·         Seribu Ampun
·         Panas Siang
·         Joget
·         Amek Tolong Jar (Emak Tolong Kami)
·         Ken Anuk (Si Anu)
·         Tok Kenah (Tiada Beristeri)
·         Pusing Tamuk Tawin (Keliling Sejambak Bunga)
·         Amai Gabet (Jangan Tidur)
·         Sir (Kira)
·         Bek Yok (Ayah yang Mempunyai Anak Sulung Lelaki)
·         Ceri’t (Panggil)
·         Ruwang Ruwet (Ruwang Ruwet)
·         Bah Bai Bai (Pakcik)
·         Bunga Alam Ye (Puteri Gunung)
·         Puteri Raja (Puteri Raja)
·         Bula (Bola)
·         Guruk Abek (Guru Ayah)

No comments:

Post a Comment

Video Sewang

Powerpoint


Muzik Orang Asli -